GEORGE TOWN – Dilema cinta yang dihadapi penyanyi, Shila Amzah dengan
kekasihnya yang juga pelakon, Sharnaaz Ahmad (gambar kecil) terus
menimbulkan tanda-tanya apabila dia dihalang daripada memberikan
kenyataan serta dikawal ketat oleh beberapa orang pengawal keselamatan.
Selepas selesai membuat persembahan pada Majlis Rumah Terbuka
1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) di Kolej Han
Chiang di sini semalam, Shila terus dihalang daripada memberi penjelasan
kepada wartawan Kosmo! mengenai punca dia dilaporkan hilang selama
seminggu baru-baru ini.
Bapanya yang juga pelakon, ND Lala bersama beberapa orang pengawal
keselamatan bertindak menyekat juara Asian Wave 2012 di China itu yang
popular dengan lagu Patah Seribu daripada memberikan kenyataan.
Sebaliknya, ND Lala berkata, dia akan memanggil sidang akhbar tidak
lama lagi bagi memberi penjelasan dan mengelak kekeliruan mengenai isu
tersebut.
ND Lala turut ditanya mengenai berita penemuan anak sulungnya itu
yang ditemui semula dalam keadaan selamat di Kemaman, Terengganu pada
Sabtu lalu.
“Syukur Alhamdulillah... saya akan perbaiki apa yang berlaku,” jelasnya.
Sebelum itu, kemunculan Shila yang mengenakan blaus labuh berwarna
hitam dan jaket peach pada majlis tersebut memukau perhatian kira-kira
80,000 pengunjung yang turut bersorak gembira.
Program itu yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak turut menampilkan persembahan bintang rap Korea Selatan, Psy yang
menyampaikan lagu popularnya, Oppa Gangnam Style.
Shila yang muncul ke atas pentas kira-kira pukul 11.15 pagi telah
membawa empat buah lagu termasuk Patah Seribu, Set Fire To The Rain dan
dua lagu Mandarin iaitu Zheng Fu dan Forever Love.
Kosmo! semalam melaporkan Shila menerusi laman Twitternya menafikan
dia cuba melarikan diri ekoran kemelut cinta yang mengaitkan dengan
Sharnaaz.
Sebaliknya, Shila menjelaskan dia hanya ingin mencari ketenangan.
Berikutan berita kehilangannya, ND Lala telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Sabtu lalu - kosmo !
No comments:
Post a Comment