Tuesday, February 12, 2013

Shila Amzah kena tutup mulut isu hilang seminggu

GEORGE TOWN – Dilema cinta yang dihadapi penyanyi, Shila Amzah dengan kekasihnya yang juga pelakon, Sharnaaz Ahmad (gambar kecil) terus menimbulkan tanda-tanya apabila dia dihalang daripada memberikan kenyataan serta dikawal ketat oleh beberapa orang pengawal keselamatan.
Selepas selesai membuat persembahan pada Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) di Kolej Han Chiang di sini semalam, Shila terus dihalang daripada memberi penjelasan kepada wartawan Kosmo! mengenai punca dia dilaporkan hilang selama seminggu baru-baru ini.


Bapanya yang juga pelakon, ND Lala bersama beberapa orang pengawal keselamatan bertindak menyekat juara Asian Wave 2012 di China itu yang popular dengan lagu Patah Seribu daripada memberikan kenyataan.
Sebaliknya, ND Lala berkata, dia akan memanggil sidang akhbar tidak lama lagi bagi memberi penjelasan dan mengelak kekeliruan mengenai isu tersebut.


ND Lala turut ditanya mengenai berita penemuan anak sulungnya itu yang ditemui semula dalam keadaan selamat di Kemaman, Terengganu pada Sabtu lalu.
“Syukur Alhamdulillah... saya akan perbaiki apa yang berlaku,” jelasnya.


Sebelum itu, kemunculan Shila yang mengenakan blaus labuh berwarna hitam dan jaket peach pada majlis tersebut memukau perhatian kira-kira 80,000 pengunjung yang turut bersorak gembira.


Program itu yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menampilkan persembahan bintang rap Korea Selatan, Psy yang menyampaikan lagu popularnya, Oppa Gangnam Style.


Shila yang muncul ke atas pentas kira-kira pukul 11.15 pagi telah membawa empat buah lagu termasuk Patah Seribu, Set Fire To The Rain dan dua lagu Mandarin iaitu Zheng Fu dan Forever Love.


Kosmo! semalam melaporkan Shila menerusi laman Twitternya menafikan dia cuba melarikan diri ekoran kemelut cinta yang mengaitkan dengan Sharnaaz.
Sebaliknya, Shila menjelaskan dia hanya ingin mencari ketenangan.


Berikutan berita kehilangannya, ND Lala telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Sabtu lalu - kosmo !

No comments:

Post a Comment