Sunday, December 4, 2011

OMBAK RINDU, MAYA KARIN, AARON AZIZ & LISA SURIHANI



BABAK beremosi dan sedikit tarikan seksual antara perencah yang memberi jiwa kepada Ombak Rindu.


AURA filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari sudah dapat dirasai usai tayangan pratonton filem berkenaan, dua minggu lalu. Seminggu sebelum tayangan komersial, gelora peminat tegar terhadap novel yang terjual sebanyak 150,000 naskhah itu semakin membadai.

Barangkali, selama tempoh lebih 12 tahun mengenali Izzah, masing-masing tidak sabar untuk mencari erti visual kisah tragis wanita malang yang menjadi mangsa kerakusan manusia dalam novel berkenaan.

Memasuki panggung pada 1 Disember lalu, Ombak Rindu membuktikan, drama air mata Melayu juga mampu mengganas setanding filem aksi atau seram yang paling mudah memanggil penonton ke pawagam. Hari pertama ditayangkan, Ombak Rindu berjaya mengutip RM750,000.

Walaupun tidak memecah rekod Kongsi (RM1.1 juta dengan 100 pawagam), jauh sekali KL Gangster (RM1.8 juta dengan 81 pawagam), sebagai sebuah filem yang ditayangkan hanya di 71 pawagam termasuk Brunei dan Singapura, pencapaian sebuah filem adaptasi novel Melayu itu sudah cukup bagus untuk dilihat sebagai fenomena.

Selaku sutradara, Osman Ali layak mendapat pujian. Secara peribadi juga, pencapaian Ombak Rindu sendiri satu fenomena buat Osman yang sebelum ini tidak bernasib baik dari segi kutipan untuk tiga filem terdahulu, Cun (RM1.1 juta), Anak Halal (RM1.7 juta) dan Puaka Tebing Biru (RM1 juta).

Sejak awal, Osman sendiri ragu-ragu akan kesungguhan penerbit untuk menghasilkan sebuah filem adaptasi daripada genre drama memandangkan trend tontonan lebih memihak kepada genre aksi dan seram.

"Ini filem pertama saya mendapat kutipan memberangsangkan pada hari pertama tayangan. Mungkin sebelum ini rezeki belum memihak kepada saya, setiap pengarah ada takdirnya. Macam apa yang berlaku kepada Mamat Khalid, maknanya kita jangan cepat mengaku kalah.

"Untuk Ombak Rindu, pihak penerbit pun kata ia tiga kali ganda lebih baik berbanding filem terbitan mereka dari genre yang sama, Lagenda Budak Setan, tahun lepas," katanya yang terharu dengan komen-komen positif serta penghormatan penonton yang bersorak dan bertepuk tangan di hujung tayangan filem berkenaan di hari pertama.

Lebih membanggakan, Ombak Rindu menjatuhkan kedudukan filem nombor satu dunia ketika ini, The Twillight Saga: Breaking Down - Part 1 setelah flilem Hollywood itu tersingkir ke kedudukan kedua carta box-office tanah air minggu ini.


HARI pertama ditayangkan, Ombak Rindu berjaya memanjat carta nombor box-office tanah air dan meraih kutipan tiket RM750,000.


Melihat sambutan serta judul Ombak Rindu yang menjadi topik popular di laman sosial Twitter, karya lakon layar Armantono serta Osman itu dilihat mampu berdiri sebagai naskhah yang tidak cacat biarpun Fauziah meluahkan ketidakpuasan hatinya.

Fauziah juga menitipkan pesan, agar setiap karya adaptasi sebaik-baiknya menjemput penulis novel sebagai penasihat atau penulis skrip bersama.

"Walaupun penulis novel (Fauziah) ada menyatakan ketidakpuasan hatinya, saya faham apa yang cuba beliau maksudkan. Memang filem Ombak Rindu tidak mampu memberi visual 100 peratus kepada apa yang difantasikan dalam novel.

"Saya langsung tidak berkecil hati dengan kenyataan Fauziah. Sekarang, saya dapat rasakan penonton sebenarnya rasional dan tidak prejudis terhadap versi novel. Mereka tidak menetapkan jangkaan luar biasa dan boleh faham situasi adaptasi daripada novel ke filem," jelas Osman yang akur terhadap rungutan-rungutan penonton membandingkan versi dan novel yang ada bezanya.

Kejayaan awal Ombak Rindu seperti memberi gambaran bahawa filem adaptasi akan menjadi trend popular dalam industri filem tempatan.

Mengulas soal itu, Osman tidak berani mengagak masa depan. Katanya, dia lebih melihat dari sudut drama. Suatu masa dahulu, filem-filem genre drama seperti di zaman kegemilangan filem Datuk Rahim Razali dan Datuk Jins Shamsuddin mendapat sambutan hebat peminat.

"Sekarang orang takut mahu buat filem drama, saya harap, filem kita akan mengembalikan kegemilangan filem genre drama, harap ada lagi filem dari genre drama yang mampu tarik penonton ke pawagam.

"Tentang sambutan filem adaptasi pula, ia bukan sesuatu yang konsisten, dahulu filem Lagenda Budak Setan dapat sambutan, malangnya Karipap-Karipap Cinta tidak begitu bernasib baik. Trend adaptasi sudah lama popular di Barat cuma mungkin baru di tanah air.

"Saya cuma harap, Ombak Rindu akan terus diberi sokongan, masih terlalu awal untuk saya menyimpulkan pencapaian filem ini setakat ini," ujar Osman yang sedikit terpempan dengan sambutan yang diterima.

Hasil kreativiti, permainan emosi, debar asmara serta garapan yang mampu mengalirkan air mata, saham Osman sebagai pengarah filem adaptasi juga meledak naik. Ada beberapa penerbit sudah memberikan lampu hijau untuk Osman terus berkarya.

"Saya tidak berani terima tawaran baharu, kena tengok sambutan Ombak Rindu dulu. Tidak semua novel mampu memberikan impak bila diadaptasi, kena teliti," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod, Bicara Cinta.

Bukan sahaja menjadi buah mulut tetapi perkataan Ombak Rindu menjadi satu trend laman sosial Twitter. Pujian dan pertanyaan bersilih ganti bertanyakan perihal filem lakonan hebat Maya Karin, Aaron Aziz, Bront Palarae dan Zaidi Omar. Hasilnya masing-masing mahu menonton dan memberi ulasan sendiri. Sebuah perkembangan sihat apabila sebuah filem menjadi budaya bualan umum.


SATU kelebihan Ombak Rindu terletak kepada barisan pelakon yang memberikan penghayatan terbaik sehingga meruntun air mata penonton.


Bukan hanya filem dan nama para pemegang karakter yang menunjukkan hasil yang bersahaja namun mengagumkan, lagu runut bunyi filem ini adalah tepat dan membuai emosi penonton. Single Ombak Rindu nyanyian Adira dan Hafiz meruntun jiwa dan membantu pengaliran air mata khalayak yang tersentuh dengan segala emosi yang dibawakan dalam filem ini.

Demam Twilight berterusan

Salah sebuah lagi adaptasi novel yang membikin gelombang fenomena tersendiri adalah kemunculan francais Twilight. Bermula pada 2008 dengan Twilight, demam itu berterusan dengan kehadiran filem The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1, bermula bulan lalu.

Breaking Dawn merupakan novel keempat dan terakhir dalam senarai novel The Twilight Saga hasil tulisan Stepehine Meter. Filem yang terbahagi kepada dua bahagian tersebut diarahkan oleh Bill Condon dan kegilaan khalayak terhadap watak Edward Cullen dan Jacob akan terus berterusan.

Hasilnya sehingga 27 November lalu, filem francais siri keempat ini telah mengutip sebanyak RM690 juta (AS$220 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada serta RM838 juta (AS$268 juta) di seluruh dunia menjadikan jumlah sehingga RM1.5 bilion (AS$488 juta). Filem ini dibuka pada 18 November lalu di 4,061 buah panggung seluruh dunia.

Pada satu sisi, filem adaptasi ini mempunyai para pencinta yang tersendiri. Sama ada pembaca buku, peminat filem atau pencinta salah satu karakter, tetapi golongan ini memberi peratusan tinggi untuk filem ini sebanyak 71 peratus berbanding peratusan yang diberikan oleh pengkritik filem iaitu 26 peratus seperti yang tercatit di www.rottentomatoes.com. Terus menjadi bahan bualan, debaran filem ini berterusan apabila akan muncul bahagian dua yang menyambung cerita dan legasi serigala dan puntianak terkenal dunia sekarang. - kosmo!

p/s : kawan saya jumpa Lisa masa tgh shooting filem Ombak rindu ni kat KLIA tingkat 3. Dapat bergambar dengan Lisa. Siap MMS gambar lagi kat saya. Kasi bakar line. Tapi gambar tu kat mana tah. Sebab tak ingat dalam pendrive yg mana =)

3 comments: